Friday 8 May 2015

Warkah untuk Sang Pencipta




Warkah untuk Sang Pencipta





Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Ya Allah, 
Engkaulah Maha Segala dan pelindung hidup matiku. 
Nabi Muhammad S.A.W itu pesuruh-Mu. 

Ya Allah, Ya Rabb,
Diriku masih mencari sinar kebahagiaan untuk diriku,
Tapi, satu persatu dugaan & rintangan yang Engkau berikan padaku.
Aku dipermainkan, dimanfaatkan, dipergunakan dan diambil kesempatan oleh insan yang bergelar manusia.
Aku dihina, dimaki-hamun, dikutuk, dan dicerca atas kekuranganku ini.
Adakah aku ini terlalu mempercayai orang, kurang cerdik dalam menilai atau terlalu baik, sehingga ada mengambil kesempatan pada diriku ini?
Adakah aku ini terlalu lembut hati atau terlalu memberi maka, ada yang mempermainkanku?
Adakah aku ini terlalu buruk pada pandangan mereka sehingga ada menghinaku.


Tapi,
tak mengapa ya Rabb,
aku memaafkan mereka dan aku serahkan segalanya pada-Mu.
Aku tak mahu sekelumit dendam terhadap mereka, hilangkanlah rasa ini.
Aku tak mahu memiliki rasa ini.
Hanya Engkau berhak menghukum mereka bukan aku,
Aku hanya boleh berdoa agar mereka diberi hidayah dan petunjuk dari-Mu
Supaya mereka sedar dan tidak mengulangi perkara yang sama terhadap orang lain.

Ya Rahman,
Aku lemah, lemah, selemah-lemahnya. Peluklah daku.
Ku sedari diri ini penuh dengan dosa, kesalahan dan kekhilafan
Ku rasa diriku ini tidak layak untuk sesiapa
Setiap waktu ku ingin menginsafi diri,
Tapi,
Setiap kali ku insafi diri, dugaan atau ujian-Mu datang.

Ya Rahim,
Aku tak kuat, imanku lemah.
Aku memerlukan insan

yang membawaku ke Jannah bukan menghanyutkanku.
Ya Muhaimin,
Aku seorang wanita yang lemah,
Aku sangat memerlukan seseorang membimbingku bukan menuding atas kesalahan dan kekhilafanku.
Seseorang yang menasihatiku dengan penuh hikmah dan kesabaran bukan memarahi serta prasangka buruk terhadap diriku.
Tapi,
Masih adakah insan yang bergelar Adam seperti itu? Atau aku yang tidak layak untuk memilikinya?
Ku sedar diriku tidak sempurna iman seperti wanita solehah untuk mendapat seorang Adam yang baik.

Ya Malik,
Aku, seorang wanita yang lemah dalam perjalanan hidupku ini.
Aku penat, penat untuk memujuk hatiku,
Penat untuk menangisi segalanya dari-Mu.
Ku rasa seolah-olah tiada kebahagiaan untuk diriku ini.
Ampunkan daku kerna berfikiran begini.

Ya Aziz,
Ku mohon dari-Mu, berikanlah sedikit atau setitis kebahagiaan untuk diriku.
Walaupun setitis, aku amat menghargainya wahai Sang Pencipta Hati.
Ku juga ingin ada insan yang bergelar Adam membawaku ke Jannah, menerima segala kekuranganku, yang memahamiku dan sentiasa disisiku walau keadaan mana sekalipun.
Setiap sujudku ku mohon pada-Mu agar segala permintaanku pada-Mu diperkenankan.

Ya Jabbar,
Ampunkanlah daku, sekiranya selama ini permintaanku terlalu banyak.
Segala permintaanku yang tidak setanding dengan amalanku. Ampunkanlah daku.
Tapi,
Aku tetap mohon pada-Mu walaupun permintaanku sebesar gunung-ganang
Kerna aku yakin, Engkau akan perkenankan. Satu hari nanti. Cepat atau lambat.
Kerana Engkau Tuhan yang Maha Penyayang.
Aku akan tetap terus – menerus memohon pada-Mu 
Kerna Engkau Tuhanku yang Maha Esa.
Kerna Engkaulah tempat sebaik-baik memohon pertolongan.

Ya Latif,
Ampunkan daku, jika aku seorang hamba yang tidak tahu bersyukur ke atas nikmat yang Engkau berikan padaku.
Ampunkan juga segala dosa-dosaku dan kedua ibu bapaku. Aku sayang kedua ibu bapaku.

Ya Malikul-Mulk,
Jangan tinggalkan daku, walaupun sesaat kerana aku sangat memerlukan-Mu.
Engkaulah sumber kekuatanku.
Pinjamkanlah kekuatan-Mu untukku agar aku dapat menempuh segala ujian atau dugaan akan datang dari-Mu.
Jangan tinggalkan daku, peluklah daku. Ya Allah…. 

Hamba-Mu yang kerdil.

No comments:

Post a Comment